Isnin, 12 September 2011

25,000 meriahkan Rumah Terbuka Malaysia di SMK Guar Perahu

GUAR PERAHU 11 Sept. - Hujan sejak awal pagi ternyata tidak menghalang 25,000 orang mengunjungi Majlis Rumah Terbuka Malaysia Aidilfitri-Merdeka yang berlangsung di padang Sekolah Menengah Kebangsaan Guar Perahu, Penanti, Permatang Pauh di sini hari ini.


Kesukaran untuk meletakkan kenderaan sehingga terpaksa berjalan kaki sejauh tiga kilometer juga bukan rintangan buat mereka yang hadir sejak pukul 8 pagi lagi untuk menemui Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ketibaan Perdana Menteri di pekarangan sekolah berkenaan pada pukul 11.30 pagi dengan menaiki teksi disambut sorakan penduduk setempat yang beratur dari pintu masuk dan paluan gendang pelbagai kaum serta kibaran bendera daripada ratusan pelajar.




Ini menyebabkan Najib terpaksa mengambil masa hampir setengah jam untuk sampai ke pentas utama.


Pelbagai juadah disajikan kepada orang ramai pada majlis itu termasuk nasi beriani, ketupat palas, lemang, sate dan laksa utara di samping pelbagai jenis kuih tradisional seperti baulu, bangkit dan dodol.

Sambil menikmati hidangan yang disediakan, pengunjung turut dihiburkan dengan persembahan kebudayaan.

Pada majlis itu, Najib turut menyampaikan penghargaan kepada empat tokoh merdeka dari Pulau Pinang serta memberi sumbangan kepada golongan kurang berkemampuan .

Selain itu, beliau turut menyampaikan Netbook 1Malaysia kepada 10 pelajar cemerlang dari kawasan Permatang Pauh.

Perdana Menteri sebelum itu berkunjung ke rumah seorang penduduk kampung berdekatan, Nor Asmah Othman, 41, yang terpaksa menyara enam anak yang masih bersekolah akibat keuzuran suaminya, Azdly Ahmad Mustafa yang menghidapi penyakit kulit.

Hadir sama Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim; Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon; Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman.

LAGI GAMBAR-GAMBAR SEKITAR MAJLIS BERLANGSUNG DAN LAWATAN PM KE RUMAH PENERIMA BANTUAN RUMAH PN NOR ASMAH OTHMAN












Tiada ulasan: